BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 19, 2011

Petua Udang Galah


SEBUT saja udang galah (Macrobrachium resembergii), semua kaki pancing naik gian. Soalan pertama yang dilontarkan, dimana lokasinya, umpan apa yang digunakan dan bila musim terbaik untuk memancingnya.
Lazimnya, untuk menjinakkan Pak Janggut, berbagai umpan boleh digunakan. Sama ada umpan isi ikan, cacing tanah atau adunan dedak pellet yang diuli. Namun, dari tinjauan joran mendapati, penggunaan umpan perumpun paling berkesan menjinakkannya.
Perumpun hampir sama dengan cacing tanah cuma perbezaannya, ia mempunyai kaki yang banyak sepanjang badannya.

Habitat juga hampir sama. Cacing tanah bersarang dalam tanah manakala perumpun dalam selut berair masin sekitar hutan bakau atau nipah.
Menurut Ahmad Haris Haizal, 22, pemancing udang galah junior dari Pekan, Pahang, permintaan terhadap perumpun begitu meningkat setiap kali tiba musim udang udang galah mengena. Justeru, penawaran harganya meningkat sehingga mencecah harga RM10 bagi setiap lima ekor bagi yang benar-benar segar.
“Tetapi berbaloi. Pemancing yang menggunakan umpan perumpun segar tidak pernah berputih mata. Pasti ada habuan yang dibawa balik. Sama ada Tok Janggut bersepit biru, ikan patin atau baung.
“Lazimnya, perumpun boleh dibahagikan kepada tiga jenis. Perumpun pasir khusus untuk menjinakkan ikan bulus (Sillago sihama), gelama (Scaena spp.) dan duri (Tachysurus spp.).

“Perumpun Jengkau khusus untuk jenahak (Luthianus johni) manakala perumpun merah untuk memerangkap spesies ikan air tawar terutama udang galah dan juga baung (Mystus spp.).
“Untuk menjimat kos, umpan perumpun boleh dicari sendiri. Caranya tidak begitu susah. Yang penting dapatkan sarang atau lubangnya. Isi ikan, nasi, nenas atau belacan boleh digunakan sebagai media menariknya keluar dari sarang,’’ katanya.
Kaedah menggunakan isi ikan paling mujarab menariknya keluar iaitu dengan memasukkan isi ikan ke dalam perca kain atau stoking dan perah agar titisan air menitis masuk ke dalam sarang perumpun.
Bau busuk perahan air isi ikan akan menariknya keluar dari tempat persembunyian. Ia akan menjalar keluar mencari sasaran dan terus tangkapnya”, jelasnya.
Katanya lagi, perumpun boleh menjangkau sehingga 30 sentimeter panjang. Justeru bagi menjamin umpan ini sentiasa segar elakkan terdedah panas matahari. Sebaiknya, simpan dalam bekas berselut. Untuk digunakan sebagai umpan, potong bahagian ekornya dahulu dan biarkan bahagian kepala terus hidup.


0 comments: